Ni Mengandung Ke Tak? Ujian Kehamilan Samar




TINGGAL sehari lagi sebelum berangkat ke luar negara. Namun garis pada kit ujian kehamilan yang dibuat pagi tadi menunjukkan keputusan samar-samar. Hamil atau tidak? Banyak persoalan berlegar dalam fikiran kebanyakan wanita apabila berada dalam situasi sebegini. Bukan setakat bimbang dengan risiko menempuh perjalanan jauh, tapi ada juga yang risau jika ‘terbabas’ dalam merancang.

Antara telahan yang mengganggu, adakah kit ujian kehamilan digunakan tidak tepat, sudah luput tarikh, terlalu murah atau rosak? Trend penggunaan media sosial kini memberi lebih banyak ruang untuk wanita membuat hantaran tidak munasabah.

Berbanding merujuk kepada doktor dan pakar perbidanan, ada wanita cenderung memuat naik gambar kit ujian kehamilan yang mereka gunakan ke laman Facebook dan Instagram untuk mendapatkan kepastian mengenai status kehamilan masing-masing.

Sama ada kita sedar atau tidak, kit ujian kehamilan sebenarnya mempunyai tahap sensitiviti yang berbeza. Ada yang boleh mengesan kehamilan sebelum terlepas tarikh jangkaan haid, ada juga yang hanya boleh digunakan selepas dua hingga tiga minggu lewat datang bulan.

Bagaimanapun, hasil ujian yang samar atau pudar tetap punya penjelasan tersendiri. Boleh jadi anda benar-benar hamil atau sebaliknya. Tetapi apa yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar perubatan adalah risiko kehamilan luar rahim yang mungkin tidak disedari kebanyakan wanita.

PROF Dr Harlina Halizah

Menurut Pakar Sakit Puan yang juga Pengarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Harlina Halizah Siraj, wanita yang mengesyaki dirinya hamil disarankan berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
"Kebanyakan kualiti kit ujian kehamilan yang ada di pasaran kini sudah dipertingkat seiring arus teknologi. Kalau di zaman saya dulu, banyak kit ujian yang tidak sensitif terhadap paras hormon kehamilan hCG (human chorionic gonadotropin ) dalam air kencing.
“Tetapi kini, mana-mana kit ujian kehamilan cukup sensitif. Sebaik saja hamil, badan akan mula menghasilkan hCG. Tahap hormon ini akan semakin meningkat dan jika ia hadir dalam air kencing, maka keputusan ujian menjadi positif.
“Hanya bila keputusan ujian samar, boleh jadi wanita berkenaan hamil atau sebenarnya tidak. Sebab itu pentingnya kiraan kitaran haid. Setidak-tidaknya ia boleh jadi rujukan untuk ujian kehamilan seterusnya,” katanya.
Jelas Prof Dr Harlina, wanita yang mempunyai kitaran haid normal sepatutnya lebih mudah mengesan kehamilan berdasarkan simptom dihadapi dan hasil ujian air kencing yang dilakukan.
“Mereka ini jika lewat datang haid empat atau lima hari pun sudah boleh dikesan (kehamilan). Tetapi jika ujian dilakukan menunjukkan keputusan negatif, biasanya kita akan suruh tunggu.
“Kemudian ulang semula ujian kehamilan dalam tempoh beberapa hari. Kalau tidak, kita akan cadangkan mereka jalani ujian darah. Ujian ini lazimnya lebih tepat. Bagi mengesahkan hasil ujian, mereka boleh jalani ujian pengesanan ultra bunyi,” katanya.
KEHAMILAN LUAR RAHIM

Mengambil kira senario semasa, kata Prof Dr Harlina, ramai doktor lebih bimbang dengan risiko kehamilan luar rahim atau ektopik yang tidak disedari wanita tanpa melalui pemeriksaan lanjut.
“Dalam sesetengah kes, ada wanita melalui situasi serupa apabila kit ujian kehamilan yang digunakan menunjukkan keputusan samar. Ada juga yang positif, tidak kurang juga negatif, namun masih tiada haid.
“Kalau kita lihat hasil ujian kehamilan wanita itu meragukan dalam tempoh yang lama, mereka akan diletakkan dalam situasi berjaga-jaga. Ujian darah akan dibuat dari semasa ke semasa untuk melihat pola kenaikan hormon mengikut panduan bacaan tertentu.
“Dalam masa sama kita akan buat banyak lagi ujian untuk mengesahkan dia benar-benar hamil dan kandungan berada di tempat sepatutnya,” katanya.
Prof Dr Harlina berkata, wanita yang benar-benar mahu hamil perlu menjaga emosi supaya terhindar daripada tekanan.
“Ada waktunya tekanan juga boleh mempengaruhi kedatangan haid. Jika ragu-ragu, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan pandangan serta pemeriksaan lanjut,” katanya.- HM

Comments